
Lantas mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan
(penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu
meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa', yaghuts, ya'uq
dan nasr". Sesudah itu mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia);
dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain
kesesatan."
Pada saat itu, Nabi Nuh berasa amat sedih. Usahanya selama 950 tahun
berdakwah kepada kaumnya hanya mampu memikat hati tidak lebih dari
seratus orang sahaja untuk beriman kepada Yang Maha Esa. Seruan Nabi
Nuh tidak menambah iman kebanyakan daripada meraka malah membuatkan
mereka lebih jauh daripada kebenaran.
Segala cara dakwah yang telah dilakukan oleh Sang Nabi ini, baik
dari segi terang-terangan, secara terbuka mahupun secara diam-diam,
mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah S.W.T. Tatkala Nabi Nuh
menyampaikan risalah yang diturunkan kepadanya, kaumnya memasukkan
anak-anak jari ke dalam telinga mereka dan menutupkan baju mereka ke
wajah-wajah mereka.
Akhirnya, Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan hamba-Nya ini,
memerintahkan kekasih-Nya itu untuk bersama-sama para pengikutnya,
membina sebuah kapal yang begitu besar. Namun, orang-orang yang beriman
yang terdiri dari kelompok yang begitu kecil ini, tetap lagi di uji
oleh Allah.
Mereka dicemuh, dicerca, diejek malah dikatakan gila oleh kaum
sendiri gara-gara membina sesuatu yang tiada faedahnya bagi mereka. "Wahai
Nuh! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan pembuat kapal?
Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut pengakuanmu? Kenapa
sekarang menjadi seorang tukang kayu dan pembuat kapal? Dan kapal yang
engkau buat itu di tempat yang jauh dari air ini adalah maksudmu untuk
ditarik oleh kerbau ataukah mengharapkan angin yang akan menarik
kapalmu ke laut?" Sungguhpun begitu, mereka tidak menghiraukan
segalanya itu, kerana mereka yakin, janji Allah pasti akan sampai, dan
Dia akan menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang beriman.
Waktu yang dijanjikan pun tiba. Janji Allah itu benar dan ia
berlaku. Allah betul-betul membantu hamba-hamba-Nya yang beriman. Dan
Allah betul-betul menghapus dan membinasakan makhluk-makhluk yang kufur
dan ingkar.
Pada waktu banjir besar itu, jelas dan terbuktilah, golongan yang
menjadikan nabi dan golongan yang beriman itu sebagai teman setia
mereka telah terselamat dan benar-benar menerima bantuan dan rahmat
Allah. Mereka diredhai dan dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan
Maha Penyayang.
Pada waktu itu, jelas dan terbukti juga golongan yang menjadikan
syaitan dan golongan yang kufur ingkar sebagai teman rapat, dan
menjadikan mereka sebagai tempat bergantung harap, tidak terselamat dan
benar-benar telah dibinasakan. Mereka dimurkai dan dibenci oleh Tuhan
yang Maha Kuat dan yang Maha Gagah!
Lihatlah, bagaimana nasib dua golongan kaum nabi Nuh ini, yang telah
diceritakan lengkap oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui di dalam Al-Quran.
Dua golongan yang begitu berbeza. Satu golongan yang menjadikan nabi
dan orang-orang yang beriman sebagai teman rapat, dan satu lagi
golongan yang menjadikan syaitan dan orang yang durhaka pada Tuhan
sebagai teman setia mereka.
Maka, orang yang kita pilih sebagai temanlah yang akan membentuk diri kita.
Pemikiran, akhlak, gaya hidup, cara pemakaian, dan sebagainya,
sebahagian besarnya dipengaruhi oleh teman-teman yang ada di sekeliling
kita. Allah sentiasa mengingatkan bahawa pengaruh rakan ini sentiasa akan membawa sama ada kepada keburukan atau kebaikan. Masih ingatkah kita pada firman Allah S.W.T. di Surah al-Kahfi ayat 28:"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."
Jadi, apa pilihan kita? Adakah kita mahu pilih teman yang sentiasa
ingatkan kita tentang Tuhan, atau teman yang hanya buatkan kita lupa
bahawa kita ada Tuhan? Teman yang baik ini sentiasa ingatkan kita
tentang Pencipta, menegur saat kita lupa dan leka, bersama-sama
berjalan dalam menunaikan tanggungjawab daie yang diamanahkan dan
membantu tatkala diri memerlukan.
Sebaliknya teman yang lalai adalah teman yang sentiasa mempamerkan
bahawa dunia ini adalah segalanya. Nafsu itu adalah raja. Hiburan itu
adalah makanan rohaninya dan mati itu seolah-olah tidak akan kunjung
tiba.
No comments:
Post a Comment