Friday, January 28, 2011

~PESAN BUAT ADAM DAN HAWA~

Adam…Kadangkala kekacakan yang ada padamu,Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati....... 
Hawa… 
Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,Kau harus ambil kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam, Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.   
Adam…
 Kata-kata manis nistamu bisa menggoda hati Hawa,Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,Lembutmu dalam berkata membuatkan Hawa senang mendekatimu, Sikap prihatinmu membuat Hawa tergilakan perhatianmu.   
Hawa… 
Sikapmu yang tidak endah menjadikan Adam berani terhadapmu,Berani mengambil kesempatan untuk menyentuh maruahmu,Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu, Hingga kau pun hanyut dalam dunia cinta palsu.   
Adam…
 Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsumu, Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.  
Hawa…
Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi, Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.  Oleh itu Adam…Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,Kau harus teruskan perjuanganmu menentang hawa nafsumu, Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.  
Adam…
Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani,Supaya Hawa takut untuk menggoda dan mendekati,Supaya syaitan tidak membisikkan godaan nafsu durjana, Agar kau bisa menjadi pemimpin dan ketua yang diidami Hawa.  Begitu juga Hawa…Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci, Agar kau suci terpelihara saat Adam menyuntingmu.  
Hawa…
Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,Namun… itu bukanlah yang Adam harapkan,Adam mengharapkan Hawa yang berpegang teguh pada agama sebagai penyuci kalbu, Adam juga menginginkan Hawa yang sopan dan memelihara aurat dalam berpakaian.  


Untukmu Adam : Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam agama yang bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan dan nafsu yang boleh membinasakan. Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa. Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara maruah diri untuk orang tercinta yang sah bergelar isteri. Jadilah juga Adam yang boleh menjadi ketua keluarga, imam dalam solat berjemaah dan pemimpin agama seperti yang diingini oleh Hawa.


Untukmu Hawa : Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak terpuji dan baik hati. Jadilah Hawa yang menjaga aurat dan maruah diri dari sewenang-wenangnya dilihat ajnabi. Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk seorang yang sah bergelar suami. Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri yang solehah serta hamba Allah yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidamkan oleh Adam.

Saturday, January 15, 2011

Buat Hati Yang Ketandusan Cinta


Sabarlah duhai hati.
Tak perlu kau tagih cinta manusiawi yang bersifat sementara.
Ada cinta yang lebih kekal abadi buat dirimu.
Ada cinta yang bisa membuatkan kau mengalirkan airmata ketika hati merindui.
Ada cinta yang mampu memberikan ketenangan pada jiwamu ketika kamu dilanda keresahan.
Ada cinta yang boleh kau jadikan tempat merintih bila kesedihan datang menjenguk.
Ada cinta yang mampu memberikan apa sahaja yang kamu inginkan.
Namun, kadang-kadang cintamu itu pasti diuji.
Sekuat manakah cintamu pada-Nya, sehebat manakah kasih kamu pada-Nya.
Ujian datang dalam pelbagai cara.
Hatta sekecil-kecil perkara untuk menilai kesetiaanmu pada-Nya.
Andai kata kuat dan tetap hatimu pada-Nya, maka bergembiralah.
Jika hatimu goyah dan meragui kasih sayang-Nya selepas didatangkan ujian pada dirimu, maka sedarlah bahawa nilai cintamu disisi-Nya masih lemah.
Kembalilah pada cinta-Nya yang lebih agung dari kecintaanmu buat dunia dan isinya.
Sudah menjadi sunnah-Nya, setiap yang bergelar mukmin pasti akan diuji.
Dari ujian  itulah, Dia mencari hamba-hamba-Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan dari-Nya.
Apakah kau sanggup menghadapi segalaan ujian itu?
Namun, tidak ramai yang mahu mencari cinta yang kekal abadi ini kerana tidak mahu dilanda ujian-ujian ini.
Tidak ramai yang mahu mengeluarkan keringat hatta darah sekalipun untuk merasai manisnya cinta yang bertunjangkan kekuatan aqidah terhadap yang Khalid ini.
Maka sabarlah duhai hati.
Apabila telah kau rasakan manisnya cinta dari sang Pencipta,
maka tak perlu lagi kau kejar cinta manusiawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata.
Bila telah kau tetapkan hati untuk mencintai Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya kecintaan yang sejati.
Dan dalam perjalanan menelusuri denai cintai terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri,
akan didatangkan seorang yang turut sama mencintai-Nya sebagaimana dirimu juga.
Sebagai peneman dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu.
Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu.
Maka sabarlah duhai hati.
Tidak perlu kau gundah gulana andainya kau masih tidak berkasih dengan manusia.
Dia akan datang. Itu sudah pasti.
Namun datangnya tiada siapa yang tahu kecuali Dia sang Pencipta cinta itu.
Moga datangnya cinta insani itu, akan menguatkan lagi kecintaanmu buat sang Pencipta cinta itu sendiri.
Kerana jiwa yang sepi tanpa cinta dan kasih dari-Nya, adalah umpama padang pasir yang kegersangan.

HATI KITA

Kenapa hati?

Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Ia ibarat raja atau penguasa dalam diri. Hatilah yang menentukan arah-tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;

ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.

Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah.

Jenis-jenis hati manusia

Hati yang kita maksudkan bukanlah hati zahir yang dapat dilihat oleh mata kasar apabila kita membedah dada manusia. Hati yang kita maksudkan ialah hati batin yang kewujudannya dapat dirasai oleh perasaan dalaman kita, iaitu hati yang darinya lahir iman atau kufur, ikhlas atau riyak, redha atau kecewa, tenang atau resah dan sebagainya lagi dari perasaan-perasaan dalaman.

Para ulamak Islam –hasil renungan mereka terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.-, mereka membahagikan hati manusia kepada tiga jenis;

Pertama; Hati yang bersih dan selamat (qalbun salim); iaitu hati orang mukmin yang taat kepada Allah dan RasulNya, benar-benar mengasihi keduaNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari segala yang lain dan cita-citanya tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah. Hati jenis ini bersih sepenuhnya dari kufur dan syirik dan segala jenis penyakit hati sama ada penyakit syak (ragu-ragu), riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), hubbun-nafs (cintakan diri), hasad dan sebagainya. Hati inilah yang dikehendaki oleh Allah di mana di akhirat Dia tidak akan menerima melainkan hambanya yang mengadapNya dengan membawa hati jenis ini. Firman Allah;

“(Hari kebangkitan itu) ialah hari yang tidak akan memberi manfaat harta benda dan anak pinak, melainkan orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang salim (bersih dan selamat)”. (asy-Syu’arak: 88)

Berkata Imam Hasan al-Basri; “Ubatilah hati kamu kerana Allah hanya mengingini dari hamba-hambaNya hati yang baik dan soleh”. (al-Wafi, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hlm. 40).

Kedua; Hati yang mati; iaitulah hati orang kafir dan munafik. Hati ini tidak mengenal Allah, tidak beriman kepadaNya dan tidak menyembahNya. Hati inilah yang paling keji di sisi Allah. Firman Allah;

“Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman”. (al-Anfal: 55)

Ketiga; Hati yang sakit; iaitu hati orang beriman yang fasiq. Hati ini bebas dari kufur, tetapi masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati (atau sebahagiannya) seperti riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), lupakan akhirat, sombong, takabbur dan sebagainya. Hati ini adalah hati yang dimiliki oleh kebanyakan orang beriman hari ini. Di dalam hati mereka ada perasaan cinta kepada Allah dan RasulNya, namun pada masa yang sama perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu pun ada juga, menyebabkan hati mereka terumbang-ambing. Adakalanya, perasaan cintakan Allah dan RasulNya lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan akhirat ke atas dunia. Namun ada ketikanya, perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan dunia dan hawa nafsu. Hati jenis ini walaupun lebih baik jika dibandingkan dengan hati orang kafir (yakni hati yang yang mati tadi), namun ia tidak selamat kerana ia masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati.

Dari ketiga-tiga jenis hati di atas, sudah tentu hati yang ingin kita miliki ialah hati yang pertama kerana hati itulah yang dikehendaki Allah dari kita.

Jenis penyakit hati

Penyakit hati ada dua jenis, iaitu;

1. Penyakit syubhah (syak dan ragu); terkandung di dalamnya penyakit kejahilan, ragu-ragu antara hak dan batil, antara hidayah dan kesesatan, antara jalan yang lurus dan jalan yang bengkok. Antara ayat Allah yang menyentuh tentang penyakit syubhah dalam hati manusia ialah firmanNya tentang orang munafik;

“Dalam hati mereka (orang-orang munafik) terdapat penyakit (syak dan ragu), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka”. (al-Baqarah: 10)

2. Penyakit syahwat; iaitu penyakit-penyakit yang lahir dalam hati kerana kecintaan kepada diri sendiri, dunia, harta dan wanita seperti penyakit riyak, ‘ujub, sombong, takabbur, gilakan pangkat dan kemasyhuran, bakhil, lupakan akhirat, hasad dan sebagainya. Antara ayat Allah yang menjelaskan tentang penyakit syahwat di dalam hati ialah;

“Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)”. (al-Ahzab: 32)

Penyakit hati di dalam ayat di atas menurut ulamak ialah penyakit syahwat khususnya nafsu kepada wanita.

Ubat bagi penyakit syubhah ialah ilmu. Sementara bagi penyakit syahwah pula ubatnya ialah taat. Apabila seseorang berilmu, akan hilang lah dari hatinya keraguan dan kejahilan terhadap Allah dan ajaranNya. Dan apabila dalam hidupnya ia mengutamakan ketaatan kepada Allah, akan hilang lah pula penyakit syahwat dari hatinya.

Al-Quran adalah penawar bagi penyakit hati

Kedua-dua penyakit di atas, penawar dan penyembuhnya ialah al-Quran. Al-Quran menjelaskan kepada manusia mana yang hak dan mana yang batil, mana jalan hidayah dan mana jalan kesesatan, maka dengan itu akan hilanglah penyakit syubhah (syak dan ragu) dari hati manusia. Begitu juga, al-Quran mendidik manusia agar mencintai Allah dan RasulNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat yang kekal abadi dan dunia yang fana ini, di mana dengan itu akan hilang lah penyakit syahwat dari bersarang di dalam hati manusia.

Peranan al-Quran dalam merawat dan menyembuhkan penyakit-penyakit hati dinyatakan sendiri oleh Allah dengan firmanNya;

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Yunus: 57)

Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “al-Quran adalah penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada manusia yang terdiri dari penyakit kejahilan dan juga penyakit kesesatan. Penyakit kejahilan ubatnya ialah ilmu dan hidayah. Sementara penyakit kesesatan pula, ubatnya ialah tuntunan Ilahi (ar-Rusyd). Kedua-dua penyakit ini telah dibersihkan Allah dari hati Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firmanNya;

“Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan ia juga tidak sesat”. (an-Najm: 1-2)
(Ighasah al-Lahfan, halaman 28).

Tanda-tanda hati yang berpenyakit dan hati yang salim

Setelah mengetahui jenis-jenis penyakit hati, perlu pula kita mengetahui tanda-tanda hati yang berpenyakit dan tanda-tanda hati yang sihat (bersih dan selamat). Tujuannya ialah supaya kita dapat memastikan; di mana kedudukan hati kita? Jika hati kita tergolong dalam kelompok hati yang sakit, maka hendaklah bersegera kita mengubatinya sebelum kita mati dan mengadap Allah dengan hati yang sakit itu yang tentunya kita tidak akan diizinkan untuk memasuki syurgaNya. Jika kita mendapati hati kita salim (bersih dan selamat) –alhamdulillah-, maka hendaklah kita menjaganya agar terus selamat hinggalah kita mati. Namun jika kita dapat hati kita mati –wal’iyazu billah-, maka hendaklah kita meyakini bahawa Allah berkuasa menghidupkan makhluknya yang mati;

“Ketahuilah bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya”. (al-Hadid: 17)

Tanda-tanda hati yang sakit

1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintaiNya, merindui untuk bertemu denganNya, kembali kepadaNya dan mengutamakanNya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?”. (al-Furqan; 43)

2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;

“(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali Imran: 135)

3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; “Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan”. Pernah ditanya kepada Imam Suhail; “Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?”. Ia menjawab; “Jahil tentang kejahilan diri sendiri”.

4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; “Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya”. (Riwayat Imam Muslim)

5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia redha dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Tanda-tanda hati yang sihat

1. Hati yang sihat, tandanya yang pertama ialah cintakan Allah dan tanda kecintaannya kepada Allah ialah; tuannya banyak berzikir kepada Allah. Hati ibarat periuk dan lidah adalah senduknya. Senduk mengeluarkan apa yang di dalam periuk. Lidah pula mengeluarkan apa yang ada di dalam hati. Jika di dalam hati penuh dengan perasaan cintakan kepada Allah, maka akan lahirlah di lidah zikrullah. Namun jika di dalam hati penuh dengan kufur, fasiq dan maksiat, maka akan lahirlah di lidah umpatan, adu-domba, ucapan kotor dan mencarut.

2. Hati yang sihat sentiasa menyedarkan tuannya supaya kembali kepada Allah; bergantung harap pada Allah umpama seorang pencinta yang terdesak bergantung harap kepada orang yang dicintainya. Ia merasakan tidak ada kehidupan, tidak ada kejayaan, tidak ada kenikmatan dan tidak ada keseronokan kecuali dengan redha Allah dan hampirnya ia dengan Allah. Dengan Allah ia merasai tenang dan tenteram, kepada Allah ia berlindung dan bertawakkal, kepada Allah jua ia yakin dan percaya, menaruh harapan dan menyimpan rasa takut.

3. Di antara tanda hati yang sihat ialah jasad suka berbakti dan berkhidmat kepada Allah tanpa ada rasa jemu di hati. Rasulullah s.a.w. menunaikan solat hingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila dipersoalkan kenapa beliau bersusah diri untuk beribadah hingga sedemikian rupa, beliau menjawab; “Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur” (Riwayat Imam al-Bukhari). Yahya bin Mu’az pernah berkata; “Sesiapa merasa seronok berkhidmat kepada Allah, nescaya segala benda seronok berkhidmat kepadanya. Sesiapa yang senang matanya melihat perkara yang diredhai Allah, nescaya semua orang senang melihat kepadanya”.

4. Antara tanda hati yang sihat ialah seseorang itu amat menjaga waktu dan hartanya dari dibazirkan kepada perkara-perkara di luar dari ketataan kepada Allah. Ia menyedari bahawa waktu dan harta adalah modal yang dikurniakan Allah untuknya bagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan di akhirat. Kerana itu, setiap saat dari waktunya dan setiap sen dari hartanya akan digunakan untuk mentaati Allah bagi mendapatkan pahala dan keredhaan dariNya.

5. Antara tanda sihat dan bersihnya hati seseorang ialah perhatiannya terhadap kesahihan dan penerimanaan Allah terhadap amalannya lebih diutamakan dari amalan itu sendiri. Yang di ambil kira bukan banyaknya amalan, tetapi keelokan amalan dan penjagaannya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Kerana itu, orang yang bersih hatinya sentiasa menjaga keikhlasan dan ikutan kepada as-Sunnah dalam setiap amalannya kerana ia mengetahui bahawa tanpa keikhlasan dan tanpa mengikuti petunjuk Nabi s.a.w., amalan yang dilakukannya tidak akan diterima Allah. 

6. Di antara tanda sihatnya hati seseorang ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau sesuatu dari amalan taat, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga. Ia menyedari bahawa tertinggal wirid dan amalan ketaatan itu merupakan kerugian di akhirat. Tidak ada apa-apa pada kerugian duniawi jika dibandingkan dengan kerugiaan di akhirat. Harta benda dunia akan musnah, adapun kenikmatan di sisi Allah di akhirat tidak akan musnah selamanya.

“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”. (an-Nahl: 96)

7. Seorang hamba yang hatinya sihat dan bersih, keinginannya hanya satu iaitu untuk mentaati Allah. Perasaan dalaman yang menggerakkannya ialah cintanya kepada Allah dan harapannya untuk merasai kelazatan melihat wajah Allah.

“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang maha tinggi”. (al-Lail: 17-20)

8. Seorang yang hatinya sihat dan bersih, kalam Allah adalah ucapan yang paling disukainya. Berkata Ibnu Mas’ud r.a.; “Sesiapa ingin mengetahui apakah ia kasih kepada Allah atau tidak, hadapkan dirinya kepada al-Quran. Jika ia kasih kepada al-Quran, itu maknanya ia kasih kepada Allah kerana al-Quran adalah Kalam Allah”. Diceritakan bahawa beliau (yakni Ibnu Mas’ud) mencium mushaf al-Quran dan berkata; “Kalam Tuhanku! Kalam TuhanKu”.

9. Antara tanda hati yang salim ialah mengutamakan akhirat dari dunia. Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; “Selagi hati selamat dari penyakitnya, ia akan berjalan menuju akhirat dan menghampirinya hingga menjadilah ia ahlul-akhirah (golongan yang beramal untuk akhirat). Namun apabila hati sakit, ia akan melebihkan dunia dan menjadikan dunia watannya hingga menjadilah ia alul-dunya (golongan yang beramal semata-mata untuk kepentingan duniawi”. (Ighasah al-Lahfan, halaman 94-95).

Punca hati menjadi sakit?

Hati manusia menjadi sakit berpunca dari dosa. Dosa menjauhkan hati dari Allah. Apabila hati jauh dari Allah, mudahlah ia ditimpa dengan bermacam-macam penyakit. Sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika ia melakukan suatu dosa, akan muncul lah satu titik hitam di dalam hatinya. Jika ia meninggalkan dosa itu, kemudian ia beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya meliputi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran yang disebut Allah dalam firmanNya;

“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”. (al-Mutoffifin; 14)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)

Imam Abdullah bin al-Mubarak bermadah;

رَأيْتُ الذُنُوبَ تُمِيتُ الْقُلُوْبَ
وَقَدْ يُوْرِثُ الذُّلَّ إِدْمَانُهَا
وَتَرْكُ الذُّنُوْبِ حَيَاةُ الْقُلُوْبِ
وَخَيْرٌ لِنَفْسِكَ عِصْيَانُهَا
Aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati,
Berterusan melakukannya mengakibatkan kehinaan,
Meninggalkan dosa pula menghidupkan hati,
Mengingkarinya membawa kebaikan kepada diri.

Friday, January 14, 2011

ANTARA CINTA DAN PERSAHABATAN

Antara cinta dan persahabatan
Andainya ku diberi pilihan untuk memilihnya
Akan ku pilih kedua-duanya
Kerna bagiku ianya sama bererti dan bernilai dalam kehidupan

Cinta
Suatu ungkapan yang belum pasti kan keindahannya
Kerana di sebalik keindahan cinta itu
Tersirat seribu kepahitan dan keperitan
Pastinyakan merentap kedamaian jiwa seorang PENCINTA SETIA
Tatkala ikatan diundang kekecewaan

Namun
Ia tetap betah menjemput setiap jiwa
Yang punya hati dan perasaan
Hakikat yang tersimpan disebalik anugerah ini
Tak terungkai dengan bicara dibibir
Tak tergambar dengan lakonan
Begitu syahdunya kurniaan ilahi
Lahirnya dari hati seorang insan
Berakal emosi penyayang dan berperasaan

Persahabatan
Suatu ikatan yang lahir dari hati keinginan yang ikhlas
Bagi berkongsi tangis,tawa, kasih sayang serta keakraban
Sesungguhnya sahabat adalah tempat berbicara setulusnya
Tentang impian dan pengertian hidup ini

Persahabatan yang suci dan murni
Adalah sebuah perhubungan disulami benang kejujuran
Diwarnai dengan keikhlasan
Dicurahi dengan kasih sejati
Sekiranya menjadi gunting dalam lipatan
Robohlah tembok keluhuran sebuah persahabatan

Teman yang budiman
Mengertilah maksudku ini
Sesungguhnya apa yang tersimpul dihati kecilku
Sejak perkenalan kita

Kita bina tugu persahabatan 
Yang dipagari besi kedewasaan
Yang teguh berdiri megah dilaman hati kita
Tak tumbang dek rintangan
Hanya satu pintaku
Agar dikau SELALU MENGINGATIKU